Pacaran itu hanya untuk sekali, bukan untuk dicoba-coba ~ Philip Mantofa
Tonton kisah Ps. Philip menemukan pasangan hidupnya di youtube Before30 Miracles Edition Eps. 110 "Mujizat Tulang Rusuk"
Sejak mengabdikan hidupku kepada Yesus 12 tahun yang lalu, saya meletakkan pengharapan akan pasangan hidup saya di tangan Tuhan yang Maha Kuasa, saya percaya jika yang Dia telah "menenun aku dalam kandungan ibuku" (Mazmur 139: 13) saya percaya bahawa Tuhan juga akan menyediakan pasangan hidup yang sepadan bagi hidup kita.
Oleh itu sejak di bangku sekolah rendah, sehinggalah ke sekolah menengah, bahkan sampai melanjutkan pelajaran di kolej, saya tidak berani terjun ke alam percintaan, sama ada cinta monyet ataupun percintaan yang serius. Walaupun hati sudah pernah tertarik kepada beberapa pemuda, namun saya tidak ingin terjebak ke dalam perangkap emosi sehingga membawa kehancuran. Cukuplah, terlalu ramai anak muda di luar sana dimusnahkan hanya kerana mengejar cinta.
Jiwa kita akan terus kosong dan haus sehingga Yesus memenuhi hati kita dengan kasih-Nya.
Selama berada di bangku persekolahan saya sangat fokus terhadap membangunkan diri sendiri; belajar, hobi, bersukan serta mengeratkan hubungan kekeluargaan. Segalanya mungkin kerana apabila kita terlebih dahulu mencari Tuhan dan kebenaran-Nya, maka segala jalan kehidupan kita akan dituntun-Nya. Sejak awal di usia remaja, dengan segenap hati dan jiwa saya setiap hari saya akan mengambil masa membuat renungan peribadi bersama Tuhan. Hati dan jiwa saya sangat haus dan lapar akan hadirat-Nya melebihi dari mencari teman. Kasih-Nya sungguh memuaskan jiwa saya.
Saya sangat terdorong akan kesaksian-kesaksian beberapa wanita di dalam buku 'Chicken Soup for the Christian Woman's Soul' (saya dorong anda untuk membaca buku ini). Semua cerita adalah berdasarkan kisah nyata bagaimana mereka dengan pertolongan Tuhan mendapat pasangan hidup. Ingatlah mukjizat masih ada, kerana Tuhan masih ada.
Tuhan membimbing orang-orang yang rendah hati menurut hukum,
dan Dia mengajarkan jalan-Nya kepada orang-orang yang rendah hati. Mazmur 25: 9
Jadi, apa yang perlu anda khuatir dan takuti? Imani dan percaya dengan penuh keyakinan apa yang anda doakan Tuhan pasti menjawab.
Tetapi sekiranya anda salah berdoa, bertaubatlah. Kita mesti utamakan kehendak Tuhan terlebih dahulu sebelum mengutarakan keinginan kita. Kita boleh berdoa secara terperinci tetapi jangan sekali-kali mengikat jiwa orang itu di dalam doa anda! Cara berdoa sedemikian adalah berbentuk sihir! Contoh "Di dalam nama Yesus saya perintahkan (si dia) menjadi milik saya! "Saya mengambil autoritas dan ikat jiwanya untuk menjadi milik saya!"
Ini membuka peluang kepada iblis untuk bekerja, bukan Tuhan. Tekanan dan depresi akan berlaku terhadap orang itu sekiranya kita menggunakan cara ini untuk berdoa! Sebaliknya berdoa dengan kerendahan hati dan percaya pada Tuhan. Kita boleh bertanya dan minta petunjuk dari Tuhan sekiranya orang itu adalah pasangan hidup kita. Berdoa dengan spesifik dan senaraikan ciri-ciri pasangan yang anda suka. Berdoa dengan iman.